USM JUARA PROGRAM KEMBARA BIJAK WANG 2020/2021

USM, Pulau Pinang, 31 Mac 2021 - Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Pengurusan baru-baru ini telah mempamerkan kehebatan dalam Program Kembara Bijak Wang (KBW) 2020/2021 dengan berjaya menggondol gelaran juara dan tempat ketiga.  

Demikian ujar Dekan Pusat Pengajian Pengurusan, Profesor Dr. Noor Hazlina Ahmad yang hadir di majlis pengumuman pemenang dan penyampaian hadiah mewakili Naib Canselor USM, dan menyifatkan kejayaan ini sebagai satu petanda baik buat USM terutamanya kematangan pelajar dalam bidang pengurusan.

Jelasnya, Program KBW2020 ini merupakan inisiatif Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dengan kerjasama HSBC dan Pusat Pengajian Pengurusan, USM dalam memperkasa literasi kewangan kepada pelajar universiti secara khususnya mengenai pengurusan kewangan dengan menerapkan empat (4) teras utama iaitu Mengurus, Menyimpan, Menjana dan Memberi (Manage, Save, Earn and Give).

“Program ini yang dikawal selia oleh pensyarah dari Pusat Pengajian Pengurusan, Dr. Abdul Hadi Zulkafli dan Dr. Haslindar Ibrahim telah berlangsung dengan jayanya pada tahun 2020/2021 dengan penyertaan lebih 5,400 pelajar dari 20 universiti awam dan swasta terpilih di seluruh Malaysia melalui kaedah modul pembelajaran secara dalam talian dan aplikasi gamification,” tambahnya.

50 kumpulan terbaik dipilih untuk melayakkan diri ke peringkat akhir bagi mewakili universiti masing-masing di pertandingan akhir Virtual Treasure Hunt KBW2020 yang telah diadakan pada 30 Januari 2021 yang lalu.

Pertandingan yang mengambil masa selama 3 bulan diakhiri dengan upacara penyampaian hadiah pada 9 Mac 2021 bertempat di AKPK, Level 6, Menara Bumiputera Commerce, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Majlis itu turut dihadiri oleh Menteri Kewangan Malaysia, YB Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir; dan Timbalan Ketua Pengawai Eksekutif HSBC, Lim Eng Seong.

Sementara itu, kemenangan berganda USM diperolehi menerusi juara pertandingan, kumpulan GINGE yang diwakili oleh pelajar-pelajar dari Pusat Pengajian Teknologi Industri – Cheng Wei Ping, Ng Jing Ming, Low Er Yin, Tan Hui Wei dan Wong Tse Chee menewaskan pasukan daripada Universiti Malaya dan menggondol hadiah wang tunai RM5,000 manakala tempat ketiga dimenangi oleh wakil pelajar dari Pusat Pengajian Sains Komputer yang menggelar kumpulan mereka, MILO.

WhatsApp Image 2021 03 31 at 13.39.46

Selain itu, dua lagi pasukan USM yang bertanding turut berada dalam kelompok 20 kumpulan terbaik.

Teks: Pusat Pengajian Pengurusan & MPRC; Foto: Pusat Pengajian Pengurusan